Railway Assets Holding Sdn. Bhd. (RAHSB)
Pada 6 April 2023, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) menubuhkan anak syarikat milik penuhnya, Railway Assets Holding Sdn. Bhd. (RAHSB).
RAHSB ditubuhkan sebagai entiti perundanan yang berasingan untuk melaksanakan aktiviti perniagaan melalui kerjasama strategik serta perkongsian keuntungan, selaras dengan mandat RAC dalam mengoptimumkan asset kereta api negara secara bertanggungjawab dan berkesan.
Penubuhan ini telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah RAC dalam Mesyuarat Bil. 3/2022 pada 30 Jun 2022, dan seterusnya disahkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) melalui Kementerian Pengangkutan (MOT) pada 30 Januari 2023.
Sebagai anak syarikat milik penuh, RAHSB beroperasi di bawah hala tuju strategik RAC dengan memanfaatkan sumber dan kepakaran RAC untuk mencapai pertumbuhan perniagaan yang mampan serta menyokong pembangunan jangka panjang industri rel Malaysia.
Tujuan Penubuhan
Selaras dengan Seksyen 89(8) Akta Keretapi 1991 (Akta 463), RAC diberi mandat untuk melaksanakan fungsinya secara berkesan, telus dan bertanggungjawab demi kepentingan industri kereta api dan masyarakat.
Sebagai sebuah badan berkanun Persekutuan, RAC beroperasi dalam rangka peraturan dan parameter operasi yang ditetapkan. Penubuhan RAHSB menyediakan mekanisme yang tersusun dan fleksibel untuk membantu RAC melaksanakan mandatnya di bawah Akta 463.
RAHSB berfungsi sebagai entiti undang-undang yang berasingan yang menjalankan aktiviti operasi dan perniagaan berkaitan, sambil melindungi RAC daripada liabiliti secara langsung. Struktur ini memastikan kebebasan, akauntabiliti serta tadbir urus korporat yang baik dalam semua pelaksanaannya.
Peranan dan Mandat
RAHSB memainkan peranan strategik dalam menyokong visi RAC untuk menjadi peneraju dalam transformasi pengurusan aset kereta api yang mampan menjelang 2030.
Mandatnya termasuk merekrut tenaga profesional yang berkemahiran tinggi dan berpengalaman selaras dengan objektif RAC untuk mentransformasikan aset kereta api menjadi hartanah bernilai yang menjana pendapatan mampan kepada Kerajaan serta memacu pertumbuhan industri rel Malaysia.
Dalam melaksanakan mandat ini, RAHSB bekerjasama rapat dengan RAC untuk:
- Menyelaraskan strategi pengambilan bakat
- Mengenal pasti keperluan kemahiran kritikal
- Menarik profesional berkeupayaan yang dapat menyumbang kepada kemajuan sektor kereta api negara
