
Kementerian Pengangkutan,
No.26, Jalan Tun Hussein, Presint 4,
62100 Putrajaya
Anak kelahiran Perak ini, kini merupakan Ketua Setiausaha bagi Kementerian Pengangkutan. Sebelum itu, beliau menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Belia dan Sukan dari 5 Januari 2022 hingga 16 Januari 2023.
Beliau telah berkhidmat dalam Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia selama 27 tahun di mana beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Pengarah di Kementerian Pembangunan Luar Bandar pada tahun 1995. Setahun kemudian, beliau dipindahkan ke Kementerian Pendidikan sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Pembangunan dan Penswastaan dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Penolong Setiausaha Kanan pada tahun 2023 dalam bahagian yang sama. Semasa berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan, beliau juga merupakan Pengurus Projek untuk Projek Pendidikan Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia di Malaysia.
Dato’ Jana Santhiran kemudiannya ditempatkan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kanan di Unit Dasar dan Perancangan Strategik, semasa menjawat jawatan tersebut, beliau ditawarkan menjadi Setiausaha Tribunal bagi Tuntuan Pembeli Rumah pada September 2007. Pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai Pengarah bagi Bahagian Pemulihan Projek Terbengkalai di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada Disember 2014, beliau dilantik sebagai Setiausaha Bahagian di Bahagian Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Pengangkutan. Kemudian, beliau berkhidmat di Kementerian Kewangan sebagai Timbalan Pengarah Kanan, Unit Strategik Nasional dari Mei 2016 hingga September 2018. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Setiausaha (Pengurusan) bagi Kementerian Pengangkutan sehingga Disember 2020.
Selepas itu, beliau telah dilantik menjadi Ketua Sekretariat Jawatankuasa Penyiasatan bagi Pentadbiran, Perolehan dan Kewangan Kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri sehingga Ogos 2021. Kemudian, beliau ditukarkan ke Kementerian Alam Sekitar dan Air dan menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) bagi Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan,
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam,
25, Persiaran Perdana,
Presint 4, 62574 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Dilahirkan di Terengganu pada 12 Januari 1967, YBhg. Dato’ Hj. Mohd Fauzi bin Mohd Yatim merupakan pemegang kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan daripada Universiti Sains Malaysia pada tahun 1993. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang Pengurusan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada tahun 1995 dan seterusnya memperoleh Sarjana Pengurusan Sumber Tanah (LARM) daripada Universiti Putra Malaysia pada tahun 2007.
Beliau merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik kanan yang berpengalaman luas dalam pentadbiran awam, pengurusan tanah dan kepimpinan kerajaan tempatan. Sepanjang lebih tiga dekad perkhidmatan dalam sektor awam, beliau telah memegang pelbagai jawatan strategik termasuk sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang serta Pegawai Daerah Hulu Selangor. Beliau juga pernah memegang pelbagai jawatan kanan di Jabatan Perdana Menteri dan kementerian berkaitan, yang telah memperkukuhkan kepakaran beliau dalam aspek tadbir urus, pembangunan organisasi serta pengurusan dasar awam.
Kini, beliau menerajui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan sebagai Ketua Pengarah, dengan memberi fokus kepada pengukuhan pengurusan tanah negara, penyelarasan dasar serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan sektor awam.
Atas sumbangan dan komitmen cemerlang dalam perkhidmatan awam, beliau telah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Selangor (S.M.S) pada tahun 2016 dan Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2023.

Kementerian Kewangan,
25, Persiaran Perdana,
Precint 2, 62592 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Datin Rosni binti Mohd Yusoff dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 4 Julai 1972. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Bachelor in Business Administration) daripada Universiti Utara Malaysia pada tahun 1996. Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang Master in Management di Open University Malaysia pada tahun 2017 serta mengikuti Program Advanced Leadership and Management di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada tahun 2018.
Datin Rosni binti Mohd Yusoff kini merupakan Setiausaha Sektor Strategik dan Am, Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan, Kementerian Kewangan. Beliau merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang berpengalaman luas dalam pengurusan kewangan awam, perolehan kerajaan, pengurusan aset serta tadbir urus badan berkanun. Sepanjang tempoh perkhidmatan dalam sektor awam, beliau telah memegang pelbagai jawatan strategik di Kementerian Kewangan termasuk sebagai Timbalan Setiausaha di Bahagian Perolehan Kerajaan, di mana beliau terlibat secara langsung dalam pembangunan dan pelaksanaan sistem perolehan digital kerajaan seperti ePerolehan, eGPA dan MyGPIS. Beliau juga pernah menyandang beberapa jawatan kanan di agensi kerajaan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi serta Bahagian Pengurusan Aset Awam, dengan pengalaman luas dalam pengurusan kewangan, belanjawan dan pengurusan aset kerajaan.
Selain tanggungjawab utama dalam perkhidmatan awam, Datin Rosni turut memegang keanggotaan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di beberapa organisasi termasuk Lembaga Pelabuhan Kelang, PKFZ, Lembaga Pembangunan Langkawi, PERKESO serta KWSP (Ahli Ganti).
Atas sumbangan dan komitmen cemerlang dalam perkhidmatan awam, Datin Rosni telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang daripada SUK Negeri Sembilan (2003), Kementerian Pengajian Tinggi (2006) dan Kementerian Kewangan (2013), serta dikurniakan Bintang Cemerlang Melaka pada tahun 2013 dan Ahli Mahkota Kedah (Kehormat) pada tahun 2014.

Kementerian Ekonomi,
26, Persiaran Perdana,
Precint 3, 62000 Putrajaya,
Wilayah Persekutuan Putrajaya
Puan Nur Aida binti Hussin dilahirkan di Terengganu pada 3 Ogos 1979. Beliau merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) daripada Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada tahun 2026. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana (MSc.) dalam Integrated Construction Project Management daripada Universiti Teknologi MARA, Diploma Pengurusan Awam daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) serta Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik daripada Universiti Tenaga Nasional.
Beliau merupakan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang berpengalaman luas dalam bidang pengurusan sosial dan infrastruktur, pembangunan wilayah serta pengurusan ekonomi. Sepanjang tempoh perkhidmatan awam sejak tahun 2003, beliau telah memegang pelbagai jawatan strategik di beberapa kementerian termasuk Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, Unit Perancang Ekonomi serta Jabatan Perkhidmatan Awam. Pengalaman beliau merangkumi pengurusan pembangunan projek, perolehan dan tender, pengurusan tanah serta perancangan pembangunan sosioekonomi. Kini, beliau berkhidmat di Kementerian Ekonomi dalam bidang perancangan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam.
Atas sumbangan dan komitmen dalam perkhidmatan awam, Puan Nur Aida telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2013 dan 2017 sebagai pengiktirafan terhadap prestasi dan dedikasi beliau.

Paramount Corporation Berhad
Level 8, Uptown,
1 Jalan Ss21/58, Damansara Uptown,
47400 Petaling Jaya,
selangor Darul Ehsan
Tuan Ong Keng Siew merupakan graduan Perdangangan dari Kolej Tunku Abdul Rahman, Malaysia. Beliau merupakan ahli Persatuan Akauntan Bertauliah United Kingdom dan Institut Akauntan Malaysia. Beliau juga telah mengikuti Program Pengurusan Lanjutan di Wharton School, University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Tuan Ong Keng Siew memulakan kerjayanya sebagai Akauntan di Paramount Corporation Berhad (Paramount) pada tahun 1981, beliau seterusnya dinaikkan pangkat ke jawatan Pengurus Kewangan dan Pentadbiran pada tahun 1984. Beliau kemudian dilantik sebagai Pengurus Besar untuk menyelia operasi pembangunan dan pembinaan hartanah pada tahun 1989. Seterusnya, beliau memegang jawatan Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan pada tahun 1997 sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Paramount pada 18 Jun 2012, selepas kerjaya yang mengagumkan selama 30 tahun di Paramount. Beliau dilantik ke Lembaga Pengarah Paramount pada 14 November 1994 dan menyandang peranan sebagai Pengarah Kanan Bebas Bukan Eksekutif sejak 3 Ogos 2022 sehingga kini.
Selain itu, beliau juga merupakan pengarah bukan eksekutif bebas United Malacca Berhad dari 19 Januari 2017 dan Pekat Group Berhad sejak 7 Mei 2019 sehingga kini.

Perbadanan Aset Keretapi (RAC)
29-1, Sentral RAC,
No.16 Jalan Tun Sambanthan,
Brickfields, 50470 Kuala Lumpur
YBhg. Dato’ Azhar Bin Ahmad dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif RAC pada 16 Februari 2023. Beliau merupakan graduan lulusan ijazah LL.B (Hons) dari London. Dato’ Azhar memulakan kerjayanya dalam bidang perundangan bersama Malaysia Industrial Development Finance Group dan Kumpulan Guthrie Berhad. Anak jati Georgetown, Pulau Pinang ini kemudian melebarkan kerjayanya di beberapa Syarikat terkemuka termasuk MMC Corporation Berhad dan Bank Muamalat Malaysia Berhad.
Beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Penang Sdn Bhd pada tahun 2007 dan seterusnya beliau merupakan Ketua Pegawai Operasi di Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada tahun 2011. Dengan pengalaman yang luas dalam pelbagai bidang seperti pengangkutan, logistik, perbankan dan hartanah, beliau menerajui Kumpulan Pos Malaysia Berhad sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dari Januari 2014 hingga Januari 2017.
Sebelum ini beliau pernah menjawat jawatan Pengurus Besar RAC dari 8 Ogos 2018 hingga 7 Ogos 2020. Pada 16 Februari 2023, beliau sekali lagi diberi mandat untuk menerajui RAC. Pada 18 Oktober 2023, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Dato’ pada istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat Negeri Pulau Pinang 2023.
Kementerian Pengangkutan
Perbendaharaan
Unit Perancangan Ekonomi
Pesuruhjaya Tanah Persekutuan
Ketua Pegawai Eksekutif (Ex Officio) RAC
Tidak lebih daripada dua ahli lain