SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan menyelaraskan semula perkhidmatan KTM Komuter antara Seremban dengan Kuala Lumpur bagi mengurangkan tempoh menunggu dan perjalanan kedua-dua destinasi berkenaan.
Menterinya, Anthony Loke, berkata pihaknya menerima aduan daripada pengguna berkaitan tempoh perjalanan menggunakan tren dari Seremban ke Kuala Lumpur yang mengambil masa lama antara satu jam 45 minit hingga dua jam.
"Tempoh masa perjalanan yang lama ini disebabkan sepanjang landasan Seremban ke Kuala Lumpur sedang menaik taraf. "Ada bahagian-bahagian tertentu di mana kita terpaksa menggunakan satu landasan sahaja dan ini menjejaskan pergerakan tren.
"Kita akan cuba membuat mitigasi, menyesuaikan semula jadual untuk cuba meringankan tempoh menunggu dan perjalanan pengguna. Perkara ini akan dibincang dan diperincikan selepas Tahun Baharu Cina," katanya kepada media di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau meninjau projek menaik taraf Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban dan membuat edaran pek cenderahati kepada penumpang KTMB di Stesen KTMB Seremban.
Mengulas lanjut, Loke berkata kesulitan yang dihadapi pengguna juga susulan Stesen KTMB Seremban ketika ini sedang dinaik taraf bagi mewujudkan satu stesen baharu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, pihaknya sedang meneliti cara untuk mempercepatkan kemajuan di bawah Projek Menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2), yang kini mengikut jadual.
"Kita nak lihat bagaimana cara terbaik untuk mempercepatkan lagi kemajuan projek pembinaan KVDT2 ini walaupun pelaksanaan projek ini mencabar kerana ia tidak boleh menutup kedua-dua landasan serentak.
"Namun langkah ini bertujuan pertamanya untuk memastikan perkhidmatan pengguna tidak tergendala," katanya.